Azam Afandi MY

Azam Afandi MY

Share

Ketua Penerangan MPN Perak / Ketua Cabang Keadilan Tapah / Mantan Exco AMK Perak / Media Perpaduan

26/05/2026

Aidiladha bukan sekadar tentang korban, tetapi tentang apa yang sanggup kita lepaskan demi sesuatu yang lebih besar nilainya.

Dalam hidup ini, bukan semua pengorbanan dapat dilihat manusia. Ada yang berkorban masa bersama keluarga demi amanah perjuangan, ada yang menahan penat dan kecewa demi menjaga sebuah harapan, dan ada juga yang terus bertahan walau sering diuji dan dipersoalkan.

Begitulah kehidupan.
Dan begitulah juga perjuangan.

Hari Raya Aidiladha mengajar kita bahawa keikhlasan itu lebih mahal daripada pujian, dan pengorbanan itu kadang-kadang hadir dalam diam tanpa dipandang sesiapa.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh ahli keluarga, rakyat, sahabat perjuangan dan anggota parti yang terus setia bersama dalam susah dan senang.

Jika sepanjang perjalanan ini ada kekurangan, kelemahan dan kekhilafan daripada diri saya, saya mohon maaf dengan setulus hati.

Semoga Aidiladha ini bukan sahaja membawa kegembiraan, tetapi juga menguatkan hati kita untuk terus menjadi manusia yang lebih baik, lebih tenang dan lebih ikhlas dalam setiap perjuangan kehidupan.

Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H.
Maaf Zahir dan Batin.

Azam Afandi

16/05/2026

SELAMAT HARI GURU

01/05/2026

Selamat Hari Pekerja

Photos from Azam Afandi MY's post 28/04/2026

Hari ini saya turun lagi menziarahi dan menyampaikan sumbangan tunai kepada mangsa bencana ribut di beberapa kawasan di bawah Dun Sg Manik.

Dalam tempoh yang mendesak ini saya telah mengarahkan kakitangan pejabat saya agar memantau dan bertindak sekiranya ada keperluan mendesak dari masa ke semasa.






Azam Afandi
Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak
(Dun Sg Manik)

Photos from Azam Afandi MY's post 27/04/2026

PRIHATIN MUSIBAH RIBUT DI SUNGAI MANIK

Saya menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Mukim Sungai Manik dan Mukim Labu Kubong yang telah menjejaskan hampir 80 buah rumah, menyebabkan kerosakan harta benda serta kesulitan kepada ramai penduduk.

Semalam, 26 April 2026, saya telah turun menziarahi sebahagian mangsa yang terkesan melibatkan 20 buah rumah, bagi melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar keperluan penduduk serta menyampaikan sedikit sumbangan tunai awal sebagai tanda prihatin dan bantuan segera.

Dalam musibah seperti ini, yang penting ialah rakyat tidak dibiarkan berdepan ujian ini bersendirian. Insya-Allah, saya akan terus berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi kerajaan dan kepimpinan setempat bagi menyelaras bantuan susulan serta memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang segera membantu di peringkat awal, termasuk pemimpin masyarakat, sukarelawan dan agensi yang turun padang.

Musibah ini mengajar kita tentang kekuatan kebersamaan. Dalam saat diuji, kita hadir bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa harapan.

Semoga semua mangsa diberikan ketabahan, dipermudahkan segala urusan, dan segala kerosakan dapat dipulihkan segera.





Azam Afandi
Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak
DUN Sungai Manik

25/04/2026

Saya menyambut baik pencapaian kutipan cukai langsung negara yang mencatat sejarah baharu apabila melepasi paras RM200 bilion, iaitu sebanyak RM203.991 bilion pada tahun 2025, meningkat RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri juga Menteri Kewangan Malaysia dalam satu portal berita baru-baru ini. Pencapaian ini bukanlah sekadar angka, tetapi ianya petunjuk bahawa asas hasil negara semakin kukuh dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pada pandangan saya, peningkatan ini adalah tertumpu kepada kutipan cukai yang lebih baik yang diuruskan menerusi dasar keberkesanan pematuhan, pendigitalan sistem percukaian serta keupayaan institusi negara mengurus hasil dengan lebih cekap. Ia juga memberi ruang fiskal kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara.

Namun dalam masa yang sama, kejayaan ini mesti diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat. Rakyat mahu melihat hasil negara kembali kepada mereka dalam bentuk pendidikan yang lebih baik, kesihatan yang lebih kukuh, infrastruktur yang berkualiti, peluang pekerjaan, bantuan bersasar dan pengurusan kos sara hidup yang lebih berkesan.

Setiap pencapaian dan kejayaan kerajaan wajib dirasai oleh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah, ianya harus diumum secara langsung dan segera serta berterusan agar rakyat tahu, faham dan merasai nikmat dari dasar pengurusan yang cekap dan baik itu akhirnya menguntungkan golongan rakyat yang memerlukan dan juga menguntungkan Negara.

Saya juga menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan tambahan RM11.4 bilion bagi bayaran balik cukai tertunggak kepada syarikat secara lebih tersusun dan telus. Ini penting untuk meningkatkan keyakinan sektor perniagaan serta memastikan aliran tunai syarikat, khususnya pemain industri dan majikan, terus stabil.

Bagi saya, kekuatan hasil negara bukan bermakna rakyat perlu dibebankan, tetapi menandakan bahawa sistem percukaian mesti semakin adil, telus dan berintegriti. Yang penting ialah pembaziran mesti dielakkan, ketirisan mesti ditutup, dan setiap ringgit hasil negara mesti digunakan untuk kepentingan rakyat.

Inilah penterjemahan tatakelola yang tepat, negara mengutip cukai dengan cekap, mengurus dengan amanah, dan memulangkan manfaat kepada rakyat secara bijaksana.

Azam Afandi
Ketua Penerangan
Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak

Sumber - https://www.astroawani.com/berita-bisnes/kutipan-cukai-negara-catat-sejarah-lepasi-paras-rm200-bilion-tahun-lalu

18/04/2026

“ Bukan buta mata yang susah diubat , tetapi buta hati tidak mahu melihat “

Photos from Azam Afandi MY's post 15/04/2026

Lepak warung kg alor bakong sambil berborak dengan tok sidang dan belia kawasan.

Makan sini sedap kata deme , awak pun try ler.

15/04/2026

KENYATAAN MENJUNJUNG TITAH
DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

Patik dengan penuh takzim menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berhubung krisis tenaga global yang disifatkan sebagai satu “loceng amaran” kepada negara.

Sesungguhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah suatu peringatan yang amat berharga dan penuh hikmah, bukan sahaja kepada kerajaan, malah kepada seluruh rakyat jelata agar sentiasa berwaspada serta bersiap siaga dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia ketika ini.

Patik amat menjunjung pandangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa krisis tenaga yang melanda dunia bukanlah isu terpencil, sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap kestabilan ekonomi negara, kos sara hidup rakyat serta kesejahteraan keseluruhan masyarakat.

Sehubungan itu, patik menyambut baik seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar kerajaan dan rakyat bergerak seiring, memperkukuh perpaduan serta mengamalkan sikap berdisiplin dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Patik juga mengambil maklum bahawa titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menuntut agar segala dasar dan tindakan dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, berhemah serta berteraskan kepentingan rakyat dan negara secara menyeluruh.

Sebagai seorang anak jati Perak dan pimpinan di negeri ini, patik dengan penuh rasa tanggungjawab akan terus berusaha memainkan peranan dalam menyampaikan kefahaman kepada rakyat, agar segala cabaran yang dihadapi dapat ditangani dengan tenang, rasional serta berpaksikan fakta.

Sesungguhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini merupakan satu panduan yang amat jelas bahawa dalam menghadapi krisis global, kekuatan sebenar negara terletak pada perpaduan, kebijaksanaan dan kesepakatan antara pimpinan serta rakyat.

Patik dengan penuh hormat dan takzim menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Menjunjung Kasih Tuanku.

Azam Afandi
Ketua Penerangan
Majlis Pimpinan Negeri
Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak

Want your public figure to be the top-listed Public Figure in Tapah?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Category

Website

Address


Tapah
35000