ISMA Alor Setar

ISMA Alor Setar

Share

IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA CAWANGAN ALOR SETAR

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang dahulunya dikenali dengan nama Ikatan Siswazah Muslim Malaysia ditubuhkan pada tahun 1997, merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar dan tidak bermotifkan keuntungan. ISMA berhasrat untuk memikul amanah sebagai organisasi yang memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat sama ada dari aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangun

Photos from ISMA Alor Setar's post 11/06/2026

Pemukiman Murabbi Ummah telah berlangsung pada Sabtu, 6 Jun 2026 di Dewan Masjid Al-Fateh, Tanjung Pauh, Jitra dengan penyertaan seramai 23 orang peserta.

Program dimulakan dengan slot "Konsep Ummah Fadhilah" yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shahier Bin Sa'min (JKC ISMA Pusat). Beliau menekankan kepentingan pembinaan masyarakat berteraskan nilai Islam melalui peranan Murabbi Ummah sebagai pembimbing, penggerak dan agen perubahan dalam komuniti.

Program diteruskan dengan sesi forum yang menampilkan Dr. Abdullah Tahir Bin Abdul Rahim (YDP ISMA Alor Setar) dan Ustaz Muhammad Shahier Bin Sa'min, dengan moderasi oleh Ustaz Muhammad Syazwan Bin Menon. Forum membincangkan cabaran semasa komuniti, keperluan memperkasakan gerak kerja masyarakat serta peranan Murabbi Ummah dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti.

Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dan Resolusi yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Shahier memberi ruang kepada peserta membincangkan realiti Unit Komuniti masing-masing, mengenal pasti keutamaan gerak kerja serta merangka pelan tindakan yang bersesuaian untuk dilaksanakan di peringkat komuniti.

Program diakhiri dengan harapan agar segala input dan resolusi yang telah dibincangkan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tersusun dan berimpak dalam usaha membangunkan komuniti serta merealisasikan gagasan Ummah Fadhilah.

08/06/2026

KUALA LUMPUR MESTI DIKEMBALIKAN SEMULA KEPADA IDENTITI ISLAM DAN MELAYU

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

[ الأعراف: 96]

Kini identiti negara Malaysia terutama ibu kota sedang diubah mengikut nafsu serakah kerakusan dan ketamakan elit pemodal dan golongan kapitalis. Atas sebab itu, mereka berlumba-lumba untuk menjadikannya sebagai hub hiburan serantau.

Malaysia adalah negara yang ada identiti dan sejarah panjangnya sebagai pusat tamadun Islam dan Melayu. Majoriti rakyatnya adalah Melayu Islam yang mahukan pembangunan negara selari dengan hubungan sejarahnya dan pembinaan jiwa berteraskan akhlak dan ilmu.

Apabila sesebuah kerajaan sudah mula kehilangan visi besar tentang pembinaan tamadun, maka hiburan biasanya akan dijadikan jalan paling mudah untuk merancakkan ekonomi bandarayanya.

Kuala Lumpur sedang dilakar semula menjadi sebuah bandar tanpa roh syariat di dalamnya. Bangunannya melangit tinggi tapi akhlaknya semakin runtuh. Malamnya terang dengan kilauan lampu konsert hiburan tapi jiwa masyarakat menjadi gelap.

Nilai Islam, adab budaya dan sosial masyarakat bagi mereka adalah sampah. Ia tak menjana apa-apa pulangan ekonomi. Kerana itu, ianya akan dipinggirkan dan hanya sesuai dalam muzium yang tak dikunjungi.

Mereka mahu asingkan kehebatan Islam dan keindahan amalan syariat Islam dan budaya Melayu daripada identiti Kuala Lumpur.

Saya mahu bertanya kepada ahli-ahli politik Islam dan para alim ulamak serta sahabat pendakwah di Kuala Lumpur khususnya;

Apakah selepas ini ukuran kejayaan Kuala Lumpur ialah jumlah konsert antarabangsa?

Apakah identiti bandar raya Muslim ini mahu dibina atas budaya hiburan malam dan pesta yang melalaikan dan merosakkan generasi?

Apakah negara sudah ketandusan idea besar untuk membina tamadun sehingga terpaksa bergantung kepada industri hiburan sebagai simbol kemajuan?

Kuala Lumpur mesti dipertahankan sebagai kota yang mempunyai identiti, maruah dan jiwa ketamadunan. Jangan cagarkan kota raya ini menjadi pasaran hiburan serantau untuk memenuhi kehendak industri dan kelompok berkepentingan yang mahu mengutip keuntungan jangka pendek semata-mata.

Malaysia memerlukan visi yang lebih besar daripada itu.

Negara ini memerlukan kepimpinan yang berfikir tentang pembinaan tamadun.

Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang tenggelam dalam hiburan dan kemewahan akhirnya akan melemah dari dalam sebelum runtuh sedikit demi sedikit.

Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat
Presiden ISMA

08/06/2026
08/06/2026

PROGRAM IBADAH KORBAN ISMA ALOR SETAR PERKUKUH UKHUWAH KOMUNITI

ALOR SETAR, 27 Mei – Program Ibadah Korban anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar dengan kerjasama Teratak Pengajian Ustaz Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa telah berjaya dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha pertama di Taman Uda, Alor Setar, dengan penyertaan aktif ahli ISMA dan komuniti setempat.

Sebanyak dua ekor lembu telah dikorbankan dalam program yang bertujuan menghidupkan syiar Aidiladha serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Daging korban kemudiannya diuruskan dan diagihkan kepada penerima yang layak sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan budaya kebajikan dan keprihatinan sosial.

Sesi melapah dan pengurusan daging korban telah dijalankan di Teratak Pengajian Ustaz Haji Abdul Fisol dengan kerjasama para sukarelawan yang berganding bahu memastikan kelancaran program. Selain itu, sebahagian daripada daging korban turut dimasak secara gotong-royong, mewujudkan suasana mesra dan merapatkan hubungan antara peserta.

Menurut Yang Dipertua ISMA Alor Setar, Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim, program seperti ini bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah korban, malah menjadi platform untuk memperkukuh jaringan ukhuwah, memupuk semangat kesukarelawanan dan menggalakkan budaya saling membantu dalam masyarakat.

“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi membina Ummah Fadhilah yang berteraskan nilai kebersamaan, kebajikan dan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian,” katanya selepas sesi sembelihan.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penyumbang dan sukarelawan yang telah menjayakan program tersebut. Semoga ibadah korban yang dilaksanakan diterima Allah SWT serta menjadi asbab kepada penyatuan hati dan keberkatan buat seluruh komuniti.

Photos from ISMA Alor Setar's post 08/06/2026

🎒✨ KEM CUTI SEKOLAH SUPERAULAD – LAMAN NAZIM 2026 ✨🎒

📅 24–25 Mei 2026
📍 Teratak Ustaz Fisol, Alor Setar

Alhamdulillah, program Kem Cuti Sekolah Superaulad – Laman NAZIM telah berjaya dilaksanakan selama dua hari dengan penyertaan anak-anak dari komuniti setempat dalam suasana yang ceria, menyeronokkan dan penuh dengan nilai tarbiah.

Kem ini dianjurkan sebagai platform untuk membentuk sahsiah, akhlak dan jati diri anak-anak melalui pelbagai aktiviti yang disusun berdasarkan silibus NAZIM. Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pengisian yang membina, aktiviti berkumpulan serta permainan yang menggabungkan elemen pendidikan dan keseronokan.

Lebih menggembirakan, program ini turut membuka ruang untuk mendekati ibu bapa dan komuniti setempat. Beberapa keluarga telah menunjukkan minat untuk terus bersama program-program ISMA, malah terdapat yang mendaftar sebagai ahli. Keprihatinan komuniti juga terserlah apabila terdapat ibu yang menyumbangkan dadih kepada peserta, manakala seorang ibu yang mempunyai anak autisme turut meluahkan penghargaan kerana anaknya diraikan dan diberi peluang untuk turut serta dalam program ini.

Program ini juga menjadi medan untuk menggembleng tenaga penggerak wanita dan belia sedia ada, di samping menyokong usahawan muslimah tempatan yang terlibat dalam penyediaan keperluan program.

Inisiatif seperti ini selari dengan aspirasi ISMA dalam membina Ummah Fadhilah, bermula daripada institusi keluarga dan pembangunan generasi muda. Anak-anak yang dibimbing dengan nilai Islam, akhlak mulia dan semangat kebersamaan hari ini merupakan aset penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera pada masa hadapan.

Terima kasih kepada semua peserta, ibu bapa, tenaga pengajar, sukarelawan dan penyumbang yang menjayakan program ini. Semoga segala usaha ini menjadi amal soleh yang berpanjangan dan memberi manfaat kepada ummah.

Photos from ISMA Alor Setar's post 27/05/2026

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua kaum muslimin dan muslimat.

Semoga setiap pengorbanan kita diterima Allah S.W.T.

Alhamdulillah, telah berlangsung Program bersama ISMA Alor Setar dan Teratak Pengajian Ust Fisol pada hari ini.

Sebanyak dua ekor lembu yang telah dikorbankan pada hari ini. Selepas itu para hadirin telah bergotong-royong merewang dan mengagih daging. Juga disediakan sedikit juadah makanan untuk para tetamu yang hadir.

Semoga program sebegini lebih mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam.

26/05/2026

AIDILADHA: PENGORBANAN BUAT UMMAH

Aidiladha mengajar kita bahawa pengorbanan yang paling bernilai ialah pengorbanan kerana Allah s.w.t, ikhlas, taat dan sabar serta bukan menurut hawa nafsu.

Dr. Noor Tahira bt Abdul Karim
Ketua Wanita ISMA Alor Setar

26/05/2026

AIDILADHA: PENGORBANAN BUAT UMMAH

Semoga setiap titis keikhlasan kita pada hari ini menjadi baja menyatu hati, meneguh ummah, mengukuh pertiwi.

Dr. Abdullah Tahir bin Abdul Rahim,
YDP ISMA Alor Setar

26/05/2026

Selamat Hari Raya Aidladha 1447H daripada ISMA Alor Setar

Want your organization to be the top-listed Non Profit Organization in Alor Setar?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Telephone

Website

Address


Tingkat 1, No 25, Taman Vistana Indah
Alor Setar
06500