BBcats
Bilik Berita CATS
30/05/2026
KUALA LUMPUR - Pesta Kaamatan dan Hari Gawai merupakan perayaan kesyukuran masyarakat Sabah dan Sarawak yang diraikan penuh makna dalam semangat kebersamaan, muafakat serta penghargaan terhadap hasil bumi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sambutan itu mencerminkan kekuatan Malaysia dalam kepelbagaian budaya, selain mengukuhkan perpaduan dan saling menghormati antara rakyat.
Menerusi kenyataan di laman Facebook beliau, katanya, Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan di Sabah dan Sarawak terus diperkasa secara saksama, termasuk dalam aspek pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan kesejahteraan hidup rakyat.
Kerajaan turut menekankan bahawa pembangunan yang inklusif merupakan antara keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat di kedua-dua wilayah terus diperkukuh.
30/05/2026
KUCHING – Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Sarawak (KDJA) menerima tajaan RM10,000 daripada Magnum Sarawak bagi penganjuran Malam Media Gawai KDJA 2026 yang akan berlangsung pada 13 Jun depan di Kuching.
Malam Media Gawai yang memasuki edisi kedua itu bertujuan menghargai pengamal media dan wartawan pribumi di Sarawak atas sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Pengerusi penganjur, Indun Silong berkata, sokongan Magnum Sarawak membolehkan KDJA menghimpunkan warga media dalam satu sambutan yang mengiktiraf peranan penting kewartawanan di negeri ini.
Sementara itu, Presiden KDJA, Ronnie Teo menyifatkan tajaan berkenaan sebagai bukti sokongan sektor korporat terhadap industri media, khususnya wartawan luar bandar dan komuniti pribumi yang menjadi penghubung antara masyarakat dan sumber maklumat.
30/05/2026
KOTA SAMARAHAN – Empat individu cedera selepas sebuah Perodua Bezza terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kemalangan kendiri di Jalan Endap, Kampung Endap, pagi tadi.
Tiga mangsa, terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Seorang lagi mangsa lelaki yang terperangkap di dalam kereta, berjaya dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan.
Mangsa yang tersepit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan lanjut, manakala tiga mangsa lain yang mengalami kecederaan ringan dibawa oleh pasukan EMRS ke Hospital Jantung Kota Samarahan bagi mendapatkan rawatan.
30/05/2026
SRI AMAN – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah Perodua Bezza di Jalan Lachau, pagi tadi.
Mangsa lelaki, Flecther Kleberson Pandi, 22 tahun, yang tersepit di tempat pemandu berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi mangsa, berusia 23 tahun, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
30/05/2026
KUCHING – Dua lelaki tempatan berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes curi dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sekitar Jalan Tun Razak dan Jalan Sungai Apong, pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas bertindak melarikan diri ketika dihampiri polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 3 pagi.
Hasil pemeriksaan menemukan sebuah mesin rumput, motosikal Yamaha 110 Sport dan beberapa anak kunci.
Siasatan awal mendapati mesin rumput itu dipercayai dicuri dari sebuah stor rumah di Jalan Chawan.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
29/05/2026
KUALA LUMPUR: Perdana Menter Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaporan media yang bertanggungjawab amat penting dalam era lambakan maklumat bagi memastikan berita disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata wartawan dan pengamal media memainkan peranan besar sebagai suara rakyat serta pengimbang kuasa dalam memperkukuh demokrasi negara sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti.
Sumber : Bernama
29/05/2026
LIMBANG: Aplikasi pintar MyJPJ yang menggunakan MyDigital ID sejak 1 Mei lalu kini merekodkan lebih 14 juta pengguna berdaftar.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, pelaksanaan itu merupakan usaha pendigitalan perkhidmatan awam bagi memperkukuh keselamatan siber dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Menurut beliau, aplikasi tersebut menawarkan pelbagai kemudahan digital termasuk pembaharuan cukai jalan dan pertukaran nama kenderaan secara dalam talian.
Beliau turut memaklumkan perancangan memperluaskan pengambilan lesen Kelas E di Limbang tanpa perlu ke Miri serta pembangunan litar latihan memandu di daerah itu.
Sumber : TVS
29/05/2026
Lembaga Pelabuhan Bintulu hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada Majlis Islam Sarawak dalam satu majlis yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Berita Penuh:
https://www.catsfm.my/trendings/bilik-berita-cats/4231
29/05/2026
Sarawak Water memberi jaminan gangguan bekalan air di kawasan Teku Pasai, Sibu sedang ditangani secara serius menjelang sambutan Hari Gawai.
Berita Penuh:
https://www.catsfm.my/trendings/bilik-berita-cats/4230
29/05/2026
BEKENU: Sebuah rumah panjang 21 pintu di Jalan Sungai Saeh, Kampung Labau, Bekenu musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 1.17 pagi itu, rumah panjang jenis struktur tidak kekal yang dihuni 136 penduduk terbakar 100 peratus.
Pasukan bomba dari BBP Batu Niah dengan bantuan BBP Miri Sentral berjaya mengawal kebakaran menggunakan empat aliran hos bagi pemadaman di bahagian hadapan, belakang dan sisi rumah panjang.
Menurut pihak bomba, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.18 pagi.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Jefri Anak Majin dengan kekuatan 11 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Sumber : Bomba Sarawak
29/05/2026
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan kepada seluruh wartawan, pengamal media dan petugas penyiaran sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata peranan media amat penting sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan selain membantu memperkukuh demokrasi serta menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
Beliau turut menyeru pengamal media agar terus berpegang kepada prinsip kewartawanan berasaskan fakta, integriti dan etika dalam mendepani cabaran era digital serta penularan maklumat palsu.
“Selamat Menyambut Hari Wartawan Nasional 2026 kepada semua pengamal media di seluruh negara. Teruslah cekal, berintegriti dan berdedikasi dalam melaksanakan amanah,” katanya.
Sumber : Facebook Fadillah Yusof
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Website
Address
Kuching
93050